Pendahuluan
Rasulullah diutus untuk menyelamatkan manusia daripada bala musibah di akhirat. Kerja dakwahnya penuh dengan kesulitan dan kepayahan. Baginda diutus dalam keadaan yang lebih dashyat dari keadaan yang pernah dialami oleh para Nabi-Nabi sebelum Baginda, samada dalam tempoh zaman ketiadaan seorang nabi mahupun zaman jahiliah. Zaman dimana tiada agama lain bagi pendapat mereka yang lebih baik dari penyembahan berhala.
Dalam keadaan demikian Baginda telah datang dengan Furqan, membezakan hak dan bathil yang akibatnya sehingga adakalanya memisahkan anak dan bapak. Ia membawa kepada setengah pihak memandang pihak yang lain sebagai kafir.
Hidayah telah membentuk para sahabat memiliki sifat-sifat terpuji sehingga dikatakan 124,000 sahabat memiliki 124,000 sifat-sifat. Dari sekian sifat-sifat yang banyak itu terdapat 6 sifat yang semua para sahabat memilikinya. Sifat-sifat itu menjadi asas prinsip kehidupan mereka. 6 Prinsip itu adalah;
1. Kalimah Taiyibah
2. Solat Yang Khusyuk
3. Ilmu dan Zikir
4. Ikram Muslimin
5. Ikhlas Niat
6. Dakwah dan Pengorbanan
PRINSIP PERTAMA
Kalimah Taiyibah
La ila ha il lallah
Muhammadur Rasulullah
Kalimah La ila ha il lallah
i. Maksud kalimah La ila ha il lallah ialah mengeluarkan keyakinan yang rosak iaitu, dari yakin kepada makhluk kepada yakin kepada Allah agar masuk kebesaran Allah dan keluar kebesaran makhluk dari dalam hati manusia.
ii. Hakikat kalimah La ila ha il lallah ialah Allah berkuasa, makhluk tidak berkuasa. Allah melakukan sesuatu tanpa bantuan makhluk. Makhluk tidak boleh melakukan sesuatu tanpa izin Allah.
iii. Kelebihan kalimah taiyibah ialah,
a. Barangsiapa yang akhir kalamnya mengucap La ila ha il lallah, wajib baginya syurga.
b. Barangsiapa mengucap La ila ha il lallah 100 kali dengan ikhlas, maka baginya ganjaran sepenuh langit dan bumi.
c. Barangsiapa yang mengucap La ila ha il lallah 100 kali setiap pagi dan petang, baginya ganjaran seumpama membebaskan 10 orang hamba abdi dari keturunan Nabi Ismail.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat La ila ha il lallah ialah;
1. Zikirkan La ila ha il lallah di lidah banyak-banyak.
2. Dakwahkan kepentingan La ila ha il lallah.
3. Bangun malam dan doa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat La ila ha il lallah ke dalam diri kita.
Kalimah Muhammadur Rasulullah
i. Maksud Muhammadur Rasulullah ialah mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.
ii. Hakikat Muhammadur Rasulullah ialah, hanya cara Nabi Muhammad yang membawa kejayaan. Cara yang lain akan membawa kegagalan dan kebinasaan di dunia dan di akhirat.
iii. Kelebihan Muhammadur Rasulullah ialah barangsiapa berpegang dengan satu sunnah pada zaman kerosakan ummat, baginya 100 pahala syahid.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat Muhammadur Rasulullah SAW ialah;
1. Kita amalkan Sunnah Rasulullah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar sunnah.
2. Dakwahkan kepentingan sunnah.
3. Bangun malam dan berdoa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat Muhammadur Rasulullah ke dalam diri kita.
PRINSIP KEDUA
SOLAT YANG KHUSUK
Solat merupakan perintah Allah yang kedua penting selepas iman. Firman Allah dalam surah Toha: 132 mahfumnya;
"Perintahkanlah ummatmu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya"
i. Maksud solat yang khusyuk ialah solat yang boleh menarik bantuan Allah dan yang boleh mencegah kita dari melakukan faksyak dan mungkar.
ii. Hakikat solat ialah Ikrar Untuk Mengabdikan diri kepada Allah SWT.
iii. Kelebihan solat yang khusyuk, ialah;
1. Berkat rezeki.
2. Lepas dari siksa kubur.
3. Menerima kitab amalan dengan tangan kanannya pada Hari Hisab.
4. Melintas sirat sepantas kilat.
5. Masuk syurga tanpa hisab.
Rasulullah SAW pernah bersabda mahfumnya; “Solat ialah tiang agama dan mempunyai 10 fadilat;
1. Daya penarik pada wajah.
2. Teman di dalam kubur.
3. Jalan turunnya rahmat.
4. Anak kunci syurga.
5. Timbangan bagi mizan.
7. Jalan keredaan Allah.
8. Harga bagi syurga.
9. Naungan dari api neraka.
10. Seorang yang melengah-lengahkan solat merosakan agama.
Bagi yang melengah-lengahkan solat baginya 5 macam azab di dunia, 3 azab sewaktu hendak mati, 3 azab di dalam kubur dan 3 azab di hari kebangkitan.
Azab di dunia;
1. Dia tidak dirahmati dalam kehidupannya.
2. Dia kehilangan nur yang mana wajah orang-orang yang soleh penuh dengannya.
3. Dia tidak menerima pahala setiap amalan yang baik.
4. Doanya ditolak.
5. Tiada bahagian baginya dalam doa-doa orang yang soleh.
Azab pada masa matinya,
1. Mati dalam aib.
2. Mati dalam keadaan yang lapar.
3. Mati dalam keadaan dahaga, sehingga dikatakan bahawa andaikata dituangkan seluruh air dalam lautan di dunia ke dalam mulutnya nescaya tidak akan menghilangkan dahaganya.
Azab di dalam kubur;
1. Kubur akan menghimpitnya hingga berceragah tulang belulangnya.
2. Dinyalakan api di dalam kuburnya dan berguling dia di atasnya siang dan malam hingga kiamat.
3. Sejenis ular yang berkepala 99 akan memagutnya sampai kiamat.
Azab selepas kebangkitan;
1. Hisabnya keras sekali.
2. Allah murka kepadanya.
3. Dia dicampak kedalam neraka.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat solat hendaklah;
1. Solat di tempat azan di azankan, berjemaah dan takbiratul ula.
2. Dakwahkan kepentingan solat.
3. Bangun malam serta berdoa sungguh-sungguh agar Allah SWT mencampakkan hakikat solat yang khusyuk ke dalam diri kita.
PRINSIP KETIGA
ILMU DAN ZIKIR
ILMU
Tanpa ilmu tidak mungkin dapat mencapai kemanisan iman dan amal. Ilmu para sahabat terbahagi dua, iaitu Ilmu Fada’il dan Ilmu Masa’il.
Ilmu Fadail ialah ilmu yang membicarakan tentang kelebihan amal agar ummat ghairah dan bersegera kepada amal. Bila ummat mengetahui nilai sesuatu amal seperti nilai amalan Zikir, Tasbih, Solat dan Quran, maka mereka akan berlumba-lumba mengerjakannya.
Ilmu Masail ialah ilmu yang membicarakan tentang hukum hakam seperti halal haram, sah dan batal dan sebagainya agar ummat menghindari perbuatan yang boleh mengurangkan pahala serta merosakan amalan mereka.
i. Maksud ilmu ialah mengetahui kehendak Allah dan mengharapkan keredhaanNya.
ii. Hakikat ilmu ialah mengetahui perintah Allah yang mana wajib didahulukan pada sesuatu keadaan serta mengetahui bagaimana Rasulullah SAW melaksanakannya. Sebagai contoh;
Menyertai amalan ijtimai lebih afdal dan lebih dituntut dari mendirikan amalan ifradi. Perumpamaan pahala amalan infradi ibarat setitik air dari lautan yang luas berbanding ganjaran amalan ijtimai’.
iii. Kelebihan ilmu ialah,
1. Seorang yang berilmu lebih ditakuti oleh syaitan dari 1000 orang abid (ahli ibadat).
2. Seorang yang keluar dari rumahnya kerana menuntut ilmu dikira fisabilillah sehingga dia kembali.
3. Maqam orang yang berilmu di dalam syurga, hanya setingkat sahaja di bawah maqam para ambia.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat ilmu ialah;
1. Untuk Ilmu Fada’il hendaklah selalu duduk di dalam halaqah taklim. Untuk Ilmu Masa’il haruslah banyak bertanya kepada ulama tempatan.
2. Dakwahkan kepentingan ilmu.
3. Bangun malam serta berdoa bersungguh-sungguh, agar Allah SWT mencampakkan hakikat ilmu kepada kita.
ZIKIR
i. Maksud zikir ialah mengingati Allah agar manusia sentiasa ada hubungan denganNya. Ia adalah perintah Allah sebagaimana firman Allah mahfumnya;
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah kepada Tuhanmu dengan sebanyakbanyaknya, dan bertasbihlah pagi dan petang"
ii. Hakikat zikir ialah menghidupkan roh. Dari Abu Said Al-Qudry, bersabda Rasulullah SAW mahfumnya;
"Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati"
iii. Kelebihan zikir sangat banyak di antaranya ialah;
1. Menjauhkan syaitan serta menghancurkan kekuatannya.
2. Pencuci hati yang kotor.
3. Pembuka pintu makrifah (kenal) dan magfirah (ampunan) Allah SWT.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat zikir ialah;
1. Mulakan zikir dengan fikir akan Kebesaran, Kekuasaan, Kesucian dan Kekekalan Allah SWT.
2. Banyakkan amalan zikir Siir dalam kifiat.
3. Pelihara amalan 100 kali tasbih, 100 kali selawat dan 100 kali istigfar di setiap pagi dan petang.
4. Bangun malam, tilik diri sambil bertasbih.
5. Selalu duduk di dalam halqah zikir
6. Dakwahkan kepentingan dan fadilat zikir.
7. Bangun malam dan doa sunguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat zikir pada diri kita.
PRINSIP KEEMPAT
IKRAM MUSLIMIN
i. Maksud Ikram Muslimin agar sesama Islam ada sifat hormat menghormati serta memuliakan antara satu dengan yang lain. Tidak ada iri hati, dengki, khianat serta menganiayai sesama saudara Islam.
ii. Hakikat Ikram Muslimin ialah seluruh orang Islam lebih baik dari kita. Allah memberi kita dua biji mata. Satu melihat kebaikan orang dan satu lagi melihat keburukan kita. Terhadap orang yang bukan Islam, hendakalah kita berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik.
iii. Kelebihan ikram muslimin ini ialah;
1. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka baginya 73 hasanah. 1 hasanah cukup untuknya di dunia sampai akhir hayat dan 72 lagi di akhirat kelak.
2. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka baginya pahala 10 tahun iktiqaf. Sehari iktiqaf semata-mata kerana Allah dijauhkan Allah 10 parit dari neraka. Sedang satu parit jaraknya sejauh timur dan barat.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat ikram muslimin ialah;
1. Murahkan senyum, sebarkan salam dan anjur makan.
2. Tunaikan hak dan jangan menuntut hak.
3. Mengasihi yang muda, menghormati yang tua dan memuliakan ulama.
4. Mendakwahkan kepentingan ikram muslimin serta kelebihannya.
5. Bangun malam dan doa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat Ikram Muslimin ke dalam diri kita.
PRINSIP KELIMA
IKHLAS NIAT
i. Maksud ihklas niat ialah agar amalan kita diterima oleh Allah SWT.
ii. Hakikat ikhlas niat ialah buat atau tinggal sesuatu pekerjaan semata-mata kerana Allah.
iii. Kelebihan ikhlas niat ialah seseorang yang mensedekahkan sebiji tamar dengan ikhlas, maka baginya ganjaran seumpama ia mensedekahkan emas sebesar gunung Uhud.
iv. Cara untuk mendapatkan ikhlas niat ialah;
1. Memperbetulkan niat pada awal, pertengahan dan akhir setiap amalan.
2. Dakwahkan kepentingan ikhlas niat.
3. Bangun malam dan doa sunguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat ikhlas niat ke dalam diri kita.
PRINSIP KEENAM
DAKWAH DAN PENGORBANAN
DAKWAH
i. Maksud dakwah ialah untuk menghidupkan kembali usaha Baginda Rasulullah SAW demi kesinambungan agama hingga hari qiamat.
ii. Hakikat dakwah ialah setiap manusia adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan kalimah La ila ha il lallah.
iii. Kelebihan dakwah terlampau banyak, di antaranya ialah;
1. Sepagi atau sepetang dijalan Allah lebih baik daripada dunia dan seisinya.
2. Sejenak berada di hadapan pintu rumah saudara kita atas maksud dakwah, lebih baik dari beribadat di hadapan Hajaral Aswad di malam Lailatul Qadar.
3. Debu-debu yang melekat dikaki orang yang keluar di jalan Allah, diharamkan hatta asap api neraka.
4. Seseorang yang tidur di jalan Allah lebih baik daripada bersembahyang di belakang Rasulullah SAW.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat dakwah ialah;
1. Ulama telah menyusun tertib bagi memudahkan seseorang untuk mendapatkan hakikat dakwah dengan keluar dijalan Allah sekurang-kurangnya 2 ½ jam dalam sehari, 3 hari dalam sebulan, 40 hari dalam setahun dan 4 bulan seumur hidup.
2. Hidupkan amalan gash (ziarah) 2 kali seminggu iaitu satu gash tempatan dan satu lagi gash di masjid jiran.
3. Hidupkan taklim di masjid dan di rumah.
5. Iktiqaf seminggu sekali di Markas.
6. Dakwahkan kepentingan dakwah dan tabligh.
7. Bangun malam dan doa bersungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat dakwah dan Tabligh ke dalam diri kita.
PENGORBANAN
i. Maksud korban ialah menginfakkan sesuatu yang dikasihi hatta berlinangan air mata.
ii. Hakikat korban ialah memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
iii. Kelebihan korban ialah memperolehi keredhaan Allah SWT.
iv. Cara untuk mendapatkan hakikat korban ialah;
1. Syukur nikmat Allah dengan banyak memberi dan bersedekah.
2. Amal, Sebar, Pelihara dan Pertahankan usul agama.
3. Sanggup beri masa, tenaga, harta dan kehidupan demi agama Allah.
4. Banyakkan asingkan diri (uzlah) dari suasana yang bukan suasana agama.
5. Hijrah.

No comments:
Post a Comment