Friday 19 August 2011

Media Yg Unik Di Malay-sia

Situasi sebenar : Seorang nenek pegi kedai beli ubi, tiba-tiba dilanggar beca lalu mati di tempat kejadian.

Buletin Utama - "Nenek meninggal dunia, pemandu beca dicari."

Harian Metro - "Hangat! Nenek mati dengan ubi di tangan."

Utusan Malaysia - "Nenek mati dilanggar beca satu propaganda pembangkang?"

Malaysiakini - "Beca langgar lari bukti kerajaan makan rasuah."

Obefiend - "Nenek meleis mati. Aku suka vodka."

Twitter @NajibRazak - "Nenek sanggup mati kerana ubi, menunjukkan ubi 1Malaysia berkualiti dan digemari rakyat!"

Blog Melayu paranoid - "Keraguan sijil halal ubi mungkin punca nenek mati dilanggar beca."

Ibrahim Ali - "Sampai bila kita nak tengok nenek-nenek Melayu mati dilanggar beca akibat ubi orang Cina dan India? Melayu perlu bangun menentang!"

Pancaindera - "Kisah nenek dilanggar beca diabadikan dalam filem terbaru David Teo, Beca Gangster."

Mastika - "Misteri penarik beca: temubual eksklusif dengan hantu ubi."

Samy Vellu - "Beca tak bayar tol dicari."



Tuesday 2 August 2011

6 PRINSIP SAHABAT RASULULAH SAW

Pendahuluan

Rasulullah diutus untuk menyelamatkan manusia daripada bala musibah di akhirat. Kerja dakwahnya penuh dengan kesulitan dan kepayahan. Baginda diutus dalam keadaan yang lebih dashyat dari keadaan yang pernah dialami oleh para Nabi-Nabi sebelum Baginda, samada dalam tempoh zaman ketiadaan seorang nabi mahupun zaman jahiliah. Zaman dimana tiada agama lain bagi pendapat mereka yang lebih baik dari penyembahan berhala.

Dalam keadaan demikian Baginda telah datang dengan Furqan, membezakan hak dan bathil yang akibatnya sehingga adakalanya memisahkan anak dan bapak. Ia membawa kepada setengah pihak memandang pihak yang lain sebagai kafir.

Hidayah telah membentuk para sahabat memiliki sifat-sifat terpuji sehingga dikatakan 124,000 sahabat memiliki 124,000 sifat-sifat. Dari sekian sifat-sifat yang banyak itu terdapat 6 sifat yang semua para sahabat memilikinya. Sifat-sifat itu menjadi asas prinsip kehidupan mereka. 6 Prinsip itu adalah;

1. Kalimah Taiyibah
2. Solat Yang Khusyuk
3. Ilmu dan Zikir
4. Ikram Muslimin
5. Ikhlas Niat
6. Dakwah dan Pengorbanan






PRINSIP PERTAMA
Kalimah Taiyibah
La ila ha il lallah
Muhammadur Rasulullah




Kalimah La ila ha il lallah

i. Maksud kalimah La ila ha il lallah ialah mengeluarkan keyakinan yang rosak iaitu, dari yakin kepada makhluk kepada yakin kepada Allah agar masuk kebesaran Allah dan keluar kebesaran makhluk dari dalam hati manusia.

ii. Hakikat kalimah La ila ha il lallah ialah Allah berkuasa, makhluk tidak berkuasa. Allah melakukan sesuatu tanpa bantuan makhluk. Makhluk tidak boleh melakukan sesuatu tanpa izin Allah.

iii. Kelebihan kalimah taiyibah ialah,

a. Barangsiapa yang akhir kalamnya mengucap La ila ha il lallah, wajib baginya syurga.

b. Barangsiapa mengucap La ila ha il lallah 100 kali dengan ikhlas, maka baginya ganjaran sepenuh langit dan bumi.

c. Barangsiapa yang mengucap La ila ha il lallah 100 kali setiap pagi dan petang, baginya ganjaran seumpama membebaskan 10 orang hamba abdi dari keturunan Nabi Ismail.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat La ila ha il lallah ialah;

1. Zikirkan La ila ha il lallah di lidah banyak-banyak.

2. Dakwahkan kepentingan La ila ha il lallah.

3. Bangun malam dan doa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat La ila ha il lallah ke dalam diri kita.


Kalimah Muhammadur Rasulullah

i. Maksud Muhammadur Rasulullah ialah mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

ii. Hakikat Muhammadur Rasulullah ialah, hanya cara Nabi Muhammad yang membawa kejayaan. Cara yang lain akan membawa kegagalan dan kebinasaan di dunia dan di akhirat.

iii. Kelebihan Muhammadur Rasulullah ialah barangsiapa berpegang dengan satu sunnah pada zaman kerosakan ummat, baginya 100 pahala syahid.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat Muhammadur Rasulullah SAW ialah;

1. Kita amalkan Sunnah Rasulullah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar sunnah.

2. Dakwahkan kepentingan sunnah.

3. Bangun malam dan berdoa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat Muhammadur Rasulullah ke dalam diri kita.


PRINSIP KEDUA
SOLAT YANG KHUSUK



Solat merupakan perintah Allah yang kedua penting selepas iman. Firman Allah dalam surah Toha: 132 mahfumnya;

"Perintahkanlah ummatmu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya"

i. Maksud solat yang khusyuk ialah solat yang boleh menarik bantuan Allah dan yang boleh mencegah kita dari melakukan faksyak dan mungkar.

ii. Hakikat solat ialah Ikrar Untuk Mengabdikan diri kepada Allah SWT.

iii. Kelebihan solat yang khusyuk, ialah;

1. Berkat rezeki.
2. Lepas dari siksa kubur.
3. Menerima kitab amalan dengan tangan kanannya pada Hari Hisab.
4. Melintas sirat sepantas kilat.
5. Masuk syurga tanpa hisab.

Rasulullah SAW pernah bersabda mahfumnya; “Solat ialah tiang agama dan mempunyai 10 fadilat;

1. Daya penarik pada wajah.
2. Teman di dalam kubur.
3. Jalan turunnya rahmat.
4. Anak kunci syurga.
5. Timbangan bagi mizan.
7. Jalan keredaan Allah.
8. Harga bagi syurga.
9. Naungan dari api neraka.
10. Seorang yang melengah-lengahkan solat merosakan agama.

Bagi yang melengah-lengahkan solat baginya 5 macam azab di dunia, 3 azab sewaktu hendak mati, 3 azab di dalam kubur dan 3 azab di hari kebangkitan.

Azab di dunia;

1. Dia tidak dirahmati dalam kehidupannya.
2. Dia kehilangan nur yang mana wajah orang-orang yang soleh penuh dengannya.
3. Dia tidak menerima pahala setiap amalan yang baik.
4. Doanya ditolak.
5. Tiada bahagian baginya dalam doa-doa orang yang soleh.
Azab pada masa matinya,

1. Mati dalam aib.
2. Mati dalam keadaan yang lapar.
3. Mati dalam keadaan dahaga, sehingga dikatakan bahawa andaikata dituangkan seluruh air dalam lautan di dunia ke dalam mulutnya nescaya tidak akan menghilangkan dahaganya.

Azab di dalam kubur;

1. Kubur akan menghimpitnya hingga berceragah tulang belulangnya.
2. Dinyalakan api di dalam kuburnya dan berguling dia di atasnya siang dan malam hingga kiamat.
3. Sejenis ular yang berkepala 99 akan memagutnya sampai kiamat.

Azab selepas kebangkitan;

1. Hisabnya keras sekali.
2. Allah murka kepadanya.
3. Dia dicampak kedalam neraka.


iv. Cara untuk mendapatkan hakikat solat hendaklah;

1. Solat di tempat azan di azankan, berjemaah dan takbiratul ula.

2. Dakwahkan kepentingan solat.

3. Bangun malam serta berdoa sungguh-sungguh agar Allah SWT mencampakkan hakikat solat yang khusyuk ke dalam diri kita.


PRINSIP KETIGA
ILMU DAN ZIKIR




ILMU

Tanpa ilmu tidak mungkin dapat mencapai kemanisan iman dan amal. Ilmu para sahabat terbahagi dua, iaitu Ilmu Fada’il dan Ilmu Masa’il.

Ilmu Fadail ialah ilmu yang membicarakan tentang kelebihan amal agar ummat ghairah dan bersegera kepada amal. Bila ummat mengetahui nilai sesuatu amal seperti nilai amalan Zikir, Tasbih, Solat dan Quran, maka mereka akan berlumba-lumba mengerjakannya.

Ilmu Masail ialah ilmu yang membicarakan tentang hukum hakam seperti halal haram, sah dan batal dan sebagainya agar ummat menghindari perbuatan yang boleh mengurangkan pahala serta merosakan amalan mereka.


i. Maksud ilmu ialah mengetahui kehendak Allah dan mengharapkan keredhaanNya.

ii. Hakikat ilmu ialah mengetahui perintah Allah yang mana wajib didahulukan pada sesuatu keadaan serta mengetahui bagaimana Rasulullah SAW melaksanakannya. Sebagai contoh;

Menyertai amalan ijtimai lebih afdal dan lebih dituntut dari mendirikan amalan ifradi. Perumpamaan pahala amalan infradi ibarat setitik air dari lautan yang luas berbanding ganjaran amalan ijtimai’.


iii. Kelebihan ilmu ialah,

1. Seorang yang berilmu lebih ditakuti oleh syaitan dari 1000 orang abid (ahli ibadat).

2. Seorang yang keluar dari rumahnya kerana menuntut ilmu dikira fisabilillah sehingga dia kembali.
3. Maqam orang yang berilmu di dalam syurga, hanya setingkat sahaja di bawah maqam para ambia.


iv. Cara untuk mendapatkan hakikat ilmu ialah;

1. Untuk Ilmu Fada’il hendaklah selalu duduk di dalam halaqah taklim. Untuk Ilmu Masa’il haruslah banyak bertanya kepada ulama tempatan.

2. Dakwahkan kepentingan ilmu.

3. Bangun malam serta berdoa bersungguh-sungguh, agar Allah SWT mencampakkan hakikat ilmu kepada kita.


ZIKIR

i. Maksud zikir ialah mengingati Allah agar manusia sentiasa ada hubungan denganNya. Ia adalah perintah Allah sebagaimana firman Allah mahfumnya;

"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah kepada Tuhanmu dengan sebanyakbanyaknya, dan bertasbihlah pagi dan petang"

ii. Hakikat zikir ialah menghidupkan roh. Dari Abu Said Al-Qudry, bersabda Rasulullah SAW mahfumnya;

"Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati"

iii. Kelebihan zikir sangat banyak di antaranya ialah;

1. Menjauhkan syaitan serta menghancurkan kekuatannya.

2. Pencuci hati yang kotor.

3. Pembuka pintu makrifah (kenal) dan magfirah (ampunan) Allah SWT.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat zikir ialah;

1. Mulakan zikir dengan fikir akan Kebesaran, Kekuasaan, Kesucian dan Kekekalan Allah SWT.

2. Banyakkan amalan zikir Siir dalam kifiat.

3. Pelihara amalan 100 kali tasbih, 100 kali selawat dan 100 kali istigfar di setiap pagi dan petang.

4. Bangun malam, tilik diri sambil bertasbih.

5. Selalu duduk di dalam halqah zikir

6. Dakwahkan kepentingan dan fadilat zikir.

7. Bangun malam dan doa sunguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat zikir pada diri kita.


PRINSIP KEEMPAT
IKRAM MUSLIMIN




i. Maksud Ikram Muslimin agar sesama Islam ada sifat hormat menghormati serta memuliakan antara satu dengan yang lain. Tidak ada iri hati, dengki, khianat serta menganiayai sesama saudara Islam.

ii. Hakikat Ikram Muslimin ialah seluruh orang Islam lebih baik dari kita. Allah memberi kita dua biji mata. Satu melihat kebaikan orang dan satu lagi melihat keburukan kita. Terhadap orang yang bukan Islam, hendakalah kita berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik.

iii. Kelebihan ikram muslimin ini ialah;

1. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka baginya 73 hasanah. 1 hasanah cukup untuknya di dunia sampai akhir hayat dan 72 lagi di akhirat kelak.

2. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka baginya pahala 10 tahun iktiqaf. Sehari iktiqaf semata-mata kerana Allah dijauhkan Allah 10 parit dari neraka. Sedang satu parit jaraknya sejauh timur dan barat.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat ikram muslimin ialah;

1. Murahkan senyum, sebarkan salam dan anjur makan.

2. Tunaikan hak dan jangan menuntut hak.

3. Mengasihi yang muda, menghormati yang tua dan memuliakan ulama.

4. Mendakwahkan kepentingan ikram muslimin serta kelebihannya.

5. Bangun malam dan doa sungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat Ikram Muslimin ke dalam diri kita.


PRINSIP KELIMA
IKHLAS NIAT




i. Maksud ihklas niat ialah agar amalan kita diterima oleh Allah SWT.

ii. Hakikat ikhlas niat ialah buat atau tinggal sesuatu pekerjaan semata-mata kerana Allah.

iii. Kelebihan ikhlas niat ialah seseorang yang mensedekahkan sebiji tamar dengan ikhlas, maka baginya ganjaran seumpama ia mensedekahkan emas sebesar gunung Uhud.

iv. Cara untuk mendapatkan ikhlas niat ialah;

1. Memperbetulkan niat pada awal, pertengahan dan akhir setiap amalan.

2. Dakwahkan kepentingan ikhlas niat.

3. Bangun malam dan doa sunguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat ikhlas niat ke dalam diri kita.


PRINSIP KEENAM
DAKWAH DAN PENGORBANAN




DAKWAH

i. Maksud dakwah ialah untuk menghidupkan kembali usaha Baginda Rasulullah SAW demi kesinambungan agama hingga hari qiamat.

ii. Hakikat dakwah ialah setiap manusia adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan kalimah La ila ha il lallah.

iii. Kelebihan dakwah terlampau banyak, di antaranya ialah;

1. Sepagi atau sepetang dijalan Allah lebih baik daripada dunia dan seisinya.

2. Sejenak berada di hadapan pintu rumah saudara kita atas maksud dakwah, lebih baik dari beribadat di hadapan Hajaral Aswad di malam Lailatul Qadar.

3. Debu-debu yang melekat dikaki orang yang keluar di jalan Allah, diharamkan hatta asap api neraka.

4. Seseorang yang tidur di jalan Allah lebih baik daripada bersembahyang di belakang Rasulullah SAW.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat dakwah ialah;

1. Ulama telah menyusun tertib bagi memudahkan seseorang untuk mendapatkan hakikat dakwah dengan keluar dijalan Allah sekurang-kurangnya 2 ½ jam dalam sehari, 3 hari dalam sebulan, 40 hari dalam setahun dan 4 bulan seumur hidup.

2. Hidupkan amalan gash (ziarah) 2 kali seminggu iaitu satu gash tempatan dan satu lagi gash di masjid jiran.

3. Hidupkan taklim di masjid dan di rumah.

5. Iktiqaf seminggu sekali di Markas.

6. Dakwahkan kepentingan dakwah dan tabligh.

7. Bangun malam dan doa bersungguh-sungguh agar Allah mencampakkan hakikat dakwah dan Tabligh ke dalam diri kita.

PENGORBANAN

i. Maksud korban ialah menginfakkan sesuatu yang dikasihi hatta berlinangan air mata.

ii. Hakikat korban ialah memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.

iii. Kelebihan korban ialah memperolehi keredhaan Allah SWT.

iv. Cara untuk mendapatkan hakikat korban ialah;

1. Syukur nikmat Allah dengan banyak memberi dan bersedekah.

2. Amal, Sebar, Pelihara dan Pertahankan usul agama.

3. Sanggup beri masa, tenaga, harta dan kehidupan demi agama Allah.

4. Banyakkan asingkan diri (uzlah) dari suasana yang bukan suasana agama.

5. Hijrah.

UMMUL KITAB MENJADI SURAH WAJIB SEBAGAI RUKUN SOLAT...

1. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang (1).
2. Segala puji (2) kepada Tuhan semesta alam (3)....

3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

4. Yang Menguasai (4) Hari Pembalasan (5) ....

5. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah (6) dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan (7)...

6. Tunjukilah (8) kami jalan yang lurus...

7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi) dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (Nasrani) (9)


‎1. Bererti setiap memulai kita membaca Al-fatihah ni dengan menyebut nama Allah. Tiap2 pekerjaan yang baik itu hendaknya dimulai dengan basmalah seperti makan, minum, menyembelih dan segalanya… untuk kebaikan…. Bukannya memulakannya dengan tujuan kemaksiatan….

2. Segala puji…. Menghalakannya kepada Allah kerana sumber segala kebaikkan datang dariNya….

3. Rabb … bermakna Tuhan yang ditaati, Yang Memilikki, Mendidik dan Memelihara.. Lafadh ‘rabb’ tak boleh dipakai selain untuk Tuhan kecuali kalau ada sambungannya seperti rabbul-bait (tuhan rumah), rabbul kabah (Tuhan Kabah), rabbul alamin (Tuhan semesta alam)…

4. Maalik = Yang menguasai dengan memanjangkan ‘mim’ bermakna pemilik yang empunya. Dapat pula dibaca dengan Malik = ‘raja’..

5. Yaumiddin = Hari Pembalasan .. hari yang di waktu itu masing-masing manusia menerima pembalasan amalannya yang baik maupun yang buruk. Yaumiddin juga disebut Yaumulqiyamah, Yaumulhisab, Yaumuljazaaa dan sebagainya.

6. Na’buduu diambil dari istilah ibaadat : kepatuhan dan ketundukan oleh perasaan akan hal kebesaran Allah, sebagai Tuhan yang disembah, kerana berkeyaqinan bahawa Allah mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadapnya.

7. Nasta’in (minta pertolongan) diambil dari perkataan isti’aanah : mengharapkan bantuan untuk dapat menyelesaikan suatu pekerjaan yang tidak sanggup diselesaikan dengan tangan sendiri.

8. Ihdina (tunjukilah kami)… diambil dari kata hidaa yat : memberi petunjuk kesuatu jalan yang benar. Yang maksud dengan ayat ini bukan sekedar memberi hidayah sahaja, tetapi juga memberi taufik.

9. Yang dimaksudkan mereka yang dimurkai dan mereka yang sesat ialah semua golongan yang menyimpang dari ajaran Islam..

Justeru itu, sepatutnya laaa, kita memahami ayat 7 dari surah al-fatihah menceritakan kepada kita bahawa setiap bangsa yang diciptakan Allah dimuka bumiNya ini akan terbahagi kepada 2 iaitu golongan yang benar2 menyerahkan diri kepadaNya serta memburukan keredhaan Ilahi dan disatu puak lagi ialah mereka yang mempersendakan perintah Allah dengan mentaatiNya separuh, menderhakaiNya separuh yang lain....

Dalam ertikata lain puak ini hanya menerima apa-apa yang sesuai dengan kehendak mereka, mereka terima, dan mana-mana yang tidak sesuai, mereka akan kesampingkan dan membuat pindaan mengikut kehendak nafsu serakah mereka.....

Semuga Allah mengampunkan mereka dan kita, kita mohon Allah limpahkan rahmat, taufik, 'inayah dan hidayahNya kepada semua kaum Muslimin, insya Allah.... Amin.. Ya rabbal aalamin.....

Saturday 30 July 2011

Ramadhan;datang lagi...tapi aku...???

Seiring terbenam mentari di akhir Sya’ban
tibalah kini bulan Ramadhan
Pesan ini sebagai ganti jabat tangan
tuk memohonkan maaf dari kekhilafan
Marhaban yaa Ramadhan

Bila ada langkah membekas lara
bila ada kata merangkai dusta
bila ada tingkah menoreh luka
pada kesempatan ini saya mohonkan maaf lahir dan bathin.
Selamat Melaksanakan Ibadah Puasa pada bulan Ramadhan..

Tuesday 19 July 2011

Puisi Sang Tawal

Akulah Sangtawal.
Raja Tilam juga namaku,
Empayar Melayur dulunya kekuasaanku,
Akulah cicit Maharaja Bukit Siguntang itu.
Titisan darah iskandar zulkarnain juga mengalir ditubuhku

Bapaku bernama Sakranta,
pemerintah Empayar Jawaka,
Berketurunan dari negara Medang Gana dan Langkasuka
Di akhir abad pertama masihi.

Keturunan ku dari susur galur Empayar Jawadwipa
Suwarnabhumi ( Semenanjung emas) juga jadi sebutannya,
Dari situlah munculnya tamaddun bangsaku:
Al-Jawiyun nama gelarannya,
Tanah jawi tempat asalnya.
Kemuncak zaman keagunganku di abad ke 13.

Pada 1339,bersama sahabatku Gajah Mada,
Kurangkumkan negara diutara semenanjung swarnabhumi,
Campa,Kemboja dan Samudera - Pasai,
Bersatu di bawah Empayar Chermin.
Yang gah bernama Nusantara.

Inilah silsilah keturunanku:

Anakku Raja Bharubhasa ,putera sulungku,
ku beri gelarannya Sultan Jiddah,
Sultan Mahmud shah juga gelarannya.
Langkasuka negaranya.
Bersemayam gagah di Kota Mahligai,
Mengusir jauh Raja Bersiong,
Lalu menakluk Gangga Negara.
Bergabung dengan Mapahit dibawah Gajah Mada,
Untuk kegemilangan Pamalayu Kertanegara di Nusantara.
Lalu menakluk Champa,Kemboja dan Samudera,
Menjadi Empayar Chermin yang terkemuka.
Anakku ini katanya mangkat 1362,
Namun kutahu putera perkasa ku ini ghaib begitu saja.
Kalau mangkat dimana makamnya?

Cucuku Raja Baharun anakanda Raja Barubhasa menakluki Tiktawilwa
Lalu Tiktawilwa ditukar namanya kepada Singa Negara,
Cucu cicitnya kini menyebutnya Senggora atau Songkla.

Cucuku Raja Ibrahim anakanda Raja barubhasa
itulah digelar Pra Ong Mahawangsa,
Dialah nenek moyang raja raja kedah kini.

Cucuku Raja Tanjung Pura anakanda Raja Barubhasa
Atau digelar Sultan Baki Syah
Raja Cermin juga gelarannya.
Keturunan kesultanan kelantan dan Champa
adalah darinya.

Anakku Singa Dhiraja,putera ku yang kedua,
Ku beri gelarannya Sultan Sulaiman Syah,
Langkasuka lama atau Wurawari negaranya,

Cucuku Raja Negeri Mahligai anakanda Singa Dhiraja
Juga digelar Phya Kurub Mahayana

Cicitku Sultan ismail syah,anakanda Raja Negeri Mahligai
Juga digelar Phya Tu NakPa
Darinya bermulanya kerajaan Patani Darussalam.
Cicitku inilah sultan pertama menyebut shahadat dibumi nusantara,
Lalu digelar Sultan Ismail Zilullah Fiil-Alam.
Yang bererti bayangan Allah di mukabumi.

Puteri sulung ku Puteri Urduga,
ku beri gelarannya Cik Siti Wan Kembang.
Tanah Seindah Sekebun Bunga negaranya.
Terpahat namanya di Batu Bersurat Minye Tujuh di Aceh
Tertulis di situ “Warda Rahmatullah berketurunan Barubhasa,
mangkatnya pada jumaat 14 zulhijjah 781 hijrah
bersamaan 1380 Masihi.

Puteri Sadong anak angkatnya,
Juga ghaib hilang entah dimana.

Puteriku yang kedua Puteri Chendana,
Kukahwinkan dia dengan Sultan Malikul Zahir
Iaitu cucunda kepada Sultan Malikul Salih
atau Merah Silu,Sultan lagi wali yang tersohor itu.
Dari keturunan keduanya kah lahirnya Al-mahdi itu?
Yang memiliki titisan darah dan nasab keturunan
Hingga kepada Rasulullah dan dari iskandar Zulkarnain
Yang terkumpul padanya dua kekuatan
Kekuatan Rohani dan Fizikal
Yang akan membawa panji hitam dari timur
Panji kebenaran diakhir zaman


Puteriku yang ketiga Puteri Linang Cahaya.
Kukahwinkan dia dengan Syed Hussien Jamaluddin Kubra,
Dari keturunan keduanya lahirlah Syed Ali Nurul Alam
Yang juga digelar Sultan Qumbul atau Patih Gajah Mada,
Merupakan moyang kepada wali songo yang ternama itu.
Dari keturunan keduanya kah akan lahirnya Bani Tamim itu?
Yang disebut pembantu Al-Mahdi di akhir zaman.


Akulah Sangtawal Sakranta….
Aku kembali mencari negaraku yang hilang.
Aku kembali mencari keturunanku yang hilang.
Aku kembali mencari bangsaku yang hilang.
Aku kembali membuka pintalan sejarah dan menuntut kebenaran
Aku kembali mencari politik Pamalayu dari Kertanegara.
Aku kembali mencari Dinar emas bertarikh 577 Hijrah bersamaan 1180M,
Tertulis disitu cop mohor gelaran “Al-Mutawakkil”
Cop mohor diraja Kelantan atau Kelathana atau Medang Gana.

Ku selusuri jejak dari Himalaya ke Funan
Dari Maharaja gunung dan Sailendra
Mudik kehilir Sungai Mekong
Menjejak Campa dan Gangga Negara
Mencari Sriwijaya dan Mataram
Memburu perlak hingga ke pasai
Dari Pasai Ke Samudera
Lalu ku mengerti
Mengapa Aceh,Kedah dan Kalathana
disebut serambi mekah

Ingin kutitip kembali kisah secupak dari istambul itu.
Aku kembali mencari Sheikh Said Barsisa dari Pasai yang datang dari Hadramaut itu.
Beliaulah yang berjasa mengislamkan cucuku Sultan Ismail Zillulah Fiil-alam.
Aku kembali mencari Masjid Kerisek misteri itu untuk dikenang.

Aku kembali mencari meriam patani Sri Negara ,Sri Patani dan Mahalela yang hilang ,
Aku kembali mencari keris taming sari yang jatuh didasar lautan
Aku mencari kembali adinda Sheikh Jamaluddin Kubra
iaitu Sheikh Thanaudin ataupun digelar Sang Adi Putra
Aku kembali mencari Hang Tuah, laksamana melayu yang terbilang
Untuk bertanya kenapa katanya “Takkan melayu hilang didunia”
Aku mencari Jebat kerana aku kagum dengan semangatmu Jebat.
Aku mencari kitab sejarah melayu itu,
Kitab Sulalatus Salatin yang digubah indah
Oleh Tun Sri Lanang ,negarawan terbilang.
Banyak cerita samar di dalamnya,
haruskah ku ubah,atau haruskah ku uji,
Agar cucu cicitku bisa mengerti.

Aku mencari kitab Mahkota raja raja
Yang dikarang indah pembodek negara
Pengkhianat itu bernama Sheikh Nuruddin
Angkara dialah Sheikh Hamzah Fansuri dihina.
Angkara dialah karya agung fansuri dimusnahkan..
Angkara dialah pengikut fansuri dibunuhnya
Masjid Baitulrahman menjadi saksi
Betapa bencana Tsunami telah menjadi bukti
Masjid ini masih megah berdiri
Berkat daulat dan keramat Hamzah fansuri.

Nah …Kebenaran tetap unggul sepanjang zaman
Demi kebenaran aku datang,
Demi kebenaran aku berjuang.
Kerana sejarah itu kebenaran zaman
Sejarah ditulis oleh yang menang,
Putih katanya putihlah sejarah,
Hitam katanya hitamlah sejarah.
Agar cucu cicitku keturunanku
tidak menelan mentah cerita lama

agar cucu cicitku mengerti
agar mereka menilai segalanya
dengan akal dan mata hati

Mana penglipur lara itu yang memutar sejarah.
Mana penglipur lara itu yang mengubah cerita,
Mana dia tok selampit itu yang memadam sejarah.
Mana dia tok dalang wayang kulit itu yang bijak bersandiwara.
Mana dia juara tukang dikir itu yang mempesona .
Mana dia saudagar sejarah,
Mana dia peniaga bangsa.
Mana dia tetamu yang tak diundang
Musafir bermukim dibawah naugan payung mahkota

Telah lupakah dikau asal usulnya dimana
Tidak bersyukur setelah tidak diminta upah ufti atau dinar emas
Apa lagi untuk berterima kasih atas penghormatan Sang Penguasa
Mengadu domba, meminta betis setelah diberikan paha
Lalu bertanya erti ketuanan
Siapa itu ketuanan Melayu katanya
Apakah sewaktu datang mu dulu
negara berdaulat ini tidak beraja tidak bertuan?
sedangkan kakimu yang berpijak itu adalah atas bumi berdaulat
mana ada ketuanan rakyat?
Sekali lagi mereka cuba menipu sejarah
Namun bila panji kebenaran tertegak
pasti
Cerita dongeng mereka akan berselerak

Bukalah kembali hikayat raja-raja Pasai.
Didalamnya tercatat jelas sabda junjungan
Wasiat Rasul dikeji jangan
Kebenaran pasti datang dari bumi Samudera- negeri dibawah angin
Yang bernama Nusantara.

Mana zuriat keturunanku yang pernah hilang
Mana dia bangsa jawiku yang terbuang
Mana Empayar melayur yang hilang
Mana Empayar Cermin yang pernah terbilang
Moga ketemu diakhir zaman
Moga bersatu diakhir zaman
Moga menang keakhir zaman
Bersama kita nantikan

~http://sangtawal.blogspot.com/



Monday 4 July 2011

KITA bertanya AL-QURAN menjawab

Mengapa mengeluh
Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya.

Kita bertanya: Kenapa aku diuji?
Quran menjawab , “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan ,” Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” Surah al-Ankabut , ayat 2-3.

Kita bertanya : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Quran menjawab ,” Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Surah al-Baqarah , ayat 216.

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini?
Quran menjawab ,” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” Surah al-Baqarah, ayat 286.

Kita bertanya : Kenapa kita rasa frust?
Quran menjawab ,” Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman. “Surah Ali Imran , ayat 139.

Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya?
Quran menjawab ,” Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang , dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” Surah al-Baqarah ayat 45.

Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab,” Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripadanya. Hanya kepadanya aku bertawakal .” Surah at-Taubah, ayat 129.

Kita bertanya : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?
Quran menjawab ,” Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” Surah at-Taubah , ayat 111.

Kita berkata : Aku tak tahan!
Quran menjawab ,”….dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” Surah Yusuf , ayat 12.

Kita berkata: Sampai bila aku akan merana begini
Quran menjawab,” Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. “ Surah al-Insyirah, ayat 5-6.

Sudah! Jangan mengeluh lagi. Pergi baca Quran.

Saturday 2 July 2011

Inilah Suara Orang Kebanyakan

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

(Dr Mohd Asri Zainul Abidin)